KUALA LUMPUR, 27 Mac (Harakahdaily.net) - Tindakan pihak tertentu menyerang kerajaan-kerajaan negeri yang baru dengan pelbagai isu dan masalah adalah untuk mengalih tumpuan umum terhadap masalah yang sedang dialami pihak Umno-BN.
Pengarah Centre for Electoral Reforms Initiatives (CERI) atau Pusat Reformasi Sistem Pilihan raya, Dr Wan Abdul Rahman Wan Abdul Latif berkata perkara tersebut berlaku untuk mengalihkan perhatian umum terhadap masalah yang sedang dihadapi mereka kepada sesuatu yang sengaja diada-adakan.
"Umno-BN sedar bahawa parti mereka sedang berdepan dengan pelbagai masalah dalaman yang sukar untuk diselesaikan, lalu mereka cuba mencipta isu yang tidak relevan supaya orang lupa akan masalah dalaman mereka yang masih tidak dapat diselesaikan," ujarnya ketika dihubungi Harakahdaily.
Beliau berkata, senario ini dinamakan sebagai 'an act of displacement' yang pernah dilakukan oleh negara Indonesia dalam isu konfrontasi negara itu dengan Malaysia.
"Dia tidak mahu ada pihak yang menyelidik masalah dalaman negara itu, lalu dia mencipta konfrontasi bagi mengalih perhatian umum terhadap masalah dalaman yang sudah tidak mampu ditangani lagi," katanya.
Wan Abdul Rahman yang juga mantan pensyarah Jabatan Sains Politik, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Kebangsaan Malaysia berkata, serangan ke atas kerajaan baru di bawah teraju Barisan Alternatif ini timbul ekoran kekecewaan yang dialami Umno-BN terhadap keputusan pilihan raya umum lalu.
"Dia masih tidak dapat menerima keputusan pilihan raya umum, ini adalah suatu gejala yang bernama 'political back-lash' atau politik yang timbul daripada rasa kekecewaan," ujarnya lagi.
Beliau percaya tindakan parti tersebut adalah sebagai operasi awal mereka mengekang kemaraan kerajaan baru di empat negeri yang berada pada peringkat pembentukan yakni masih belum kukuh.
"Mereka mengambil peluang sebelum kerajaan baru ini sementara ia masih belum dapat bertapak dengan kukuh atau 'intream period'.
"Pada kebiasaannya, pada fasa ini musuh akan mencari kesempatan untuk menyerang bagi melemahkan pihak lawan," katanya lagi.
Pada pandangan beliau, serangan ini akan berterusan selagi wujudnya kerajaan BN dan BA di negara ini.
Mutakhir ini, pelbagai isu timbul di beberapa negeri yang beralih kepimpinan kerajaan negeri terutamanya di Perak, Pulau Pinang dan Selangor.
Namun, ia dilihat mempunyai pelbagai motif untuk melemahkan kerajaan-kerajaan baru dibentuk sekaligus menguji kemampuan kepimpinan negeri baru tersebut. - mks.
Dipetik dari : Harakahdaily.net


Tiada ulasan:
Catat Ulasan